"Assalammualaikum ustaz Rasyiddddd!!"
Panjang nama ustaz Rasyid disebut oleh pelajar-pelajar tingkatan empat Ibnu Sina. Tanpa bersuara ustaz Rasyid memberi arahan duduk dengan menggunakan tangannya sahaja. Semua pelajar duduk dan keluarkan buku Pendidikan Islam setebal 210 mukasurat.
"Baik kelas. Sebelum mulakan kelas hari ni, siapa dah siap kerja rumah minggu lepas?" tanya Ustaz Rasyid.
Semua pelajar membisu. Ada yang cuba acah-acah cari dalam beg, ada yang tengah selak-selak buku tulis.
Ustaz Rasyid senyum. Dia tahu tiada seorang pun pelajar yang buat. "Takpe. Kita buat perbincangan je. Fathi, apa ulasan kamu tentang kerja rumah hari tu?"
Fathi bangun. Dia kemaskan bajunya dan betulkan cermin matanya.
"Pasal pendidikan Islam masyarakat kini tu kan? Saya berpendapat bahawa masyarakat kita lemah kerana institusi keluarga yang tak kukuh" ringkas je jawapan Fathi sebelum duduk tanpa minta kebenaran.
Ustaz Rasyid senyum. "Okey, ada yang nak bangkang? atau setuju je?"
Tangan putih dan halus diangkat tinggi di belakang kelas. Faridah pemilik tangan tersebut. Dia bersuara lembut "Jika keluarga menjadi penyebab pendidikan islam itu lemah, tapi kenapa ada yang berjaya dalam matematik, fizik, kimia dan subjek akademik lain walaupun keluarganya porak peranda? apa masalah dengan ilmu agama dan pendidikan Islam ni?"
Bibir ustaz Rasyid tersenyum lagi. Kali ini lebih lebar.
"Okey, ada yang nak tambah?"
Tiba-tiba pintu kelas diketuk. Seorang pengawas berdiri di luar kelas sambil sengih-sengih."Ustaz, Cikgu Farid panggil Akob"
Ustaz Rasyid berjalan perlahan ke hadapan meja Akob.
"Sebelum kamu keluar, sila bagitau apa ulasan kamu"
Air liur ditelan. Akob dah cuak. Sambil menarik nafas dalam dia berdiri, kemudian lepaskan perlahan-lahan.
"Macam ni ustaz. Mudah je. Kita bayangkan kita sedang membawa 2 benda di tangan kanan dan kiri. Kemudian ada satu benda kita junjung di atas kepala. Kemudian kita berjalan. Benda di tangan itu DUNIA dan di atas tangan itu AKHIRAT. Bila kita berjalan dan lalu lubang atau bonggol, mana yang kita nak lepas dan kita jaga dengan rapi?" Akob lontar pertanyaan.
"Lepaskan yang di tangan, dan pegang yang di kepala" jawab ustaz ringkas.
"Bagus. Tapi sekarang semua tu dah terbalik, AKHIRAT di tangan dan DUNIA di atas kepala yang kita junjung. Assalammualaikum" Akob dengan tenang berjalan keluar kelas.
Satu kelas tercengang dan mula berfikir. Ustaz Rasyid gelak kagum.
Akob puas. Tak sia-sia dia tengok Tanyalah Ustaz semalam.