"Dengan nama tuhan yang menciptakan darah yang bergerak di dalam badan sebaik-baik ciptaan"
Tulisan ini adalah sebagi kenangan atas pemergian Tuan Guru Dato’ Haji Abdul Latif bin Haji Abdul Rahman @ Pak Teh pada hari Khamis , 21 Syawwal 1431H bersamaan 30 September 2010. Walaupun al-Fagir hanya berkesempatan beberapa kali berdamping dan menadah kitab kepada beliau, namun beliau adalah seorang Tuan Guru yang sangat al-Fagir hormati dan kasihi. Beliau seorang yang ‘alim,yang wara`, dan tawadhu. Tulisan ini al-Fagir adalah sebagai menghargai jasa Tuan Guru Haji Abdul Latif bin Haji Abdul Rahman @ Pak Teh di dalam memartabatkan institusi pondok dan usaha beliau mencetak generasi ulama serta perkembangan dakwah negeri Perak khasnya dan Malaysia umumnya. Pondok yang diasasakan oleh beliau di Pengkalan Hulu adalah merupakan satu-satunya pondok tradisional yang masih wujud di negeri Perak.
Tulisan ini al-Fagir himpunkan dari beberapa blog seperti blog Ustaz Nik Nasri, Ustaz ‘Abdul Rauf Tampin, Ikan Tongkol dan-lain.
Nama tubuh beliau, Abdul Latif bin Abdul Rahman. Anak jati kelahiran Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu. Beliau dilahirkan pada tahun 1938. Mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu dari tahun 1947 sehingga 1953 dengan menamatkan pengajiannya sehingga darjah lima. Beliau adalah seorang pelajar yang pintar, dan pernah mendapat peluang untuk meneruskan pelajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) iaitu sebuah sekolah berasrama yang terkenal. Namun kerana kemiskinannya, beliau tidak meneruskannya.
Setelah itu meneruskan pengajiannya ke peringkat menengah di Sekolah Arab yang dikenali dengan nama Pondok Asam Jawa (mungkin yang pondok di maksudkan Pondok Pokok Asam, Pendang yang di asaskan oleh Tuan Guru Haji Wan Sulong bin Wan Dali – abu zahrah. Wallahu a’lam) di Pendang di antara tahun 1956 sehingga 1959. Saking minatnya yang mendalam pada ilmu agama, pada peringkat awal lagi beliau mula menghafal kitab-kitab agama di bawah bimbingan Ustaz Umar Mohammad Noh. Dan sememangnya beliau adalah seorang yang kuat menghafal matan-matan. Begitulah al-Fagir pernah diberitahu oleh individu-individu yang mengenali beliau dari dekat.
Gambar hiasan sahaja |
Pencarian ilmu beliau tidak terhenti disitu, beliau seterusnya meneruskan pengajiannya di sebuah pondok yang tersohor di Kelantan iaitu Pondok Terusan Limbat Pasir Tumboh. Beliau adalah merupakan diantara generasi awal Pondok Pasir Tumboh. Di sini beliau berguru langsung dengan pengasas pondok tersebut iaitu Tuan Guru Haji Musthafa bin Haji Abu Bakar bin Haji Abdul Latif bin Abdul Ghani dan Tuan Guru Haji ‘Abdul Aziz bin Haji Abu Bakar bin Haji Abdul Latif bin Abdul Ghani (1923 – 1987). Beliau juga berguru dengan Tuan Guru Haji Hasyim Abu Bakar yang merupakan adik ipar kepada Tuan Guru Haji Musthafa bin Haji Abu Bakar dan Tuan Guru Haji ‘Abdul Aziz bin Haji Abu Bakar.
Tuan Guru Haji Abdul Latif bin Haji Abdul Rahman @ Pak Teh menuntut ilmu di pondok Pasir Tumboh dari tahun 1959 – 1967. Pak Teh sempat berguru kepada lebih kurang 20 orang tuan guru dari Kedah, Perak dan Kelantan sepanjang pencarian ilmunya. Diantara tuan guru beliau adalah:-
- Tuan Guru Haji Musthafa bin Haji Abu Bakar bin Haji Abdul Latif bin Abdul Ghani
- Tuan Guru Haji ‘Abdul Aziz bin Haji Abu Bakar bin Haji Abdul Latif bin Abdul Ghani (1923 – 1987)
- Tuan Guru Haji Hasyim Abu Bakar ( penguasa Pondok Pasir Tumboh kini dan sedang uzur)
- Tuan Guru Haji Mat Saman Kati
- Tuan Guru Haji Abdul Rahman Ahmad
- Tuan Guru Haji Sulaiman Mohd Rabik (mungkin yang di maksudkan adalah Tuan Guru Haji Sulaiman bin Ahmad Rabat, Pondok Chegar, Pendang, kerana beliau adalah merupakan tenaga pengajar di pondok tersebut dan seterusnya mengambilalih pondok tersebut setelah ayahandanya, pengasas pondok tersebut meninggal dunia pada tahun 1962 – abu zahrah. Wallahu a’lam)
Membuka pondok: Setelah menamatkan pengajiannya di Pondok Pasir Tumboh, beliau kembali ke kampung halamannya dan membuka pondok beliau sendiri pada tahun 1967. Pada peringkat awal pelajar beliau hanya beberapa orang sahaja. Namun sehingga kini pondok ini telah mengeluarkan ribuan pelajar agama. Uniknya pondok ini, tiada bekalan elektrik di pondok bujang dan muslimat. Pelajar menggunakan lilin atau pelita untuk mentelaah. Bekalan elektrik hanya untuk rumah kelamin sahaja. Manakala kitab-kitab yang digunakan untuk pengajian, adalah kitab-kitab turats sebagaimana yang digunakan oleh pondok-pondok terdahulu. Kitab-kitab turats yang beliau ajar di pondok beliau merangkumi kitab jawi dan ‘arab di dalam pelbagai bidang ilmu.
Antara kitab-kitab turats yang beliau ajar adalah:
- Tafsir: Tafsir Jalalain, an-Nasafi dan al-Baidhawi (jawi)
- Hadits: Muwattho`, al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibn Majah, at-Tirmidhi (menggunakan kitab Bahr al-Madhi karangan Syeikh Idris al-Merbawi), Tajridus Shorih, Riyadhus Sholehin
- Tauhid: Fath al-Majid, Tuhfah al-Murid, Aqidah an-Najin (jawi)
- Fiqih: Fath al-Qarib, Fath al-Muin, Fath al-Wahhab, I’anah ath-Tholibin, Tahrir, Mughni Muhtaj, Mahalli, Kifayah al-Akhyar, Iqna, Matan Zubad, Matla’ al-Badrain (jawi), Bughyah at-Thullab (jawi), Sabil al-Muhtadin (jawi), Kasyf al-Litsam (jawi) dan Kifayah al-Muhtadi (jawi)
- Ushul Fiqih: al-Asybah wa an-Nazair dan Jam’ al-Jawami’
- Tasawwuf: Minhaj al’-Abidin, an-Nashoih ad-Diniyyah wa al-Washoya al-Imaniyyah dan Sair as-Salikin (jawi)
- Shorof: al-Kailani, al-Mirah dan Shazz al-Urf
- Nahwu: Mutammimah, Syeikh Kholid, al-Ashmawi, al-Azhari, al-Qatr an-Nada, Syarah Ibn ‘Aqil, Syuzur al-Zahab, Audhoh Masalik Syarah Alfiyyah Ibn Malik Mughni Labib, Ashmuni, Shobban dan lain-lain
- Ulum hadits: Mustholah al-Hadits (karangan Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki), Taqrirat as-Saniyyah Syarh al-Baiquniyyah
- Ilmu Tafsir: ‘Atiyyah ar-Rahman
- Mantiq: ‘Isaghuji
Selain mengajar di pondok beliau, Pak Teh juga mengajar di beberapa tempat lain. Antara kitab yang diajarkan seperti, al-Majmu Syarh al-Muhazzab, al-Asybah wa an-Nazair, Iqna, Hikam syarah Tok Pulau Manis(alhamdulillah al-Fagir bersempatan duduk di pengajian 4 buah kitab ini beberapa kali), Minhajul ‘Abidin dan lain-lain.
Oleh kerana ke’alimannya, maka Pak Teh dilantik oleh Kerajaan Negeri Perak untuk menganggotai Ahli Jawatankuasa Syariah Negeri Perak. Beliau menjawat jawatan tersebut sejak dari tahun 1994 sehinggalah beliau meninggal dunia. Pengetahuannya yang luas dan mendalam khususnya ilmu alat dan kecermatannya dalam mengeluarkan sesuatu usul atau pandangan telah banyak membantu perjalanan Jawatankuasa Syariah dan Majlis Fatwa Perak.
Teman seangkatan: Teman seangkatan dengan beliau, antaranya adalah Tuan Guru Haji ‘Abdul Halim bin Haji Majid Pondok Sungai Jagung, Pendang, Kedah; Tuan Guru Haji Muhammad Lias Pondok Keledang, Temerloh Pahang; Tuan Guru Haji Man Matang Nibung, Pida 3, Jitra Kedah; Tuan Guru Haji Man Imam Masjid Kg Telok, Kepala Batas, Alor Setar Kedah; Tuan Guru Abdullah Sidam; Tuan Guru Haji Sabran Asmawi, Bagan Serai, Perak dan ramai lagi.
Sifat dan keluarganya: Beliau seorang yang wara dan tawadhu. Seorang yang sederhana di dalam aspek kehidupan. Seorang yang bersikap terbuka, tanpa mengira fahaman politik seseorang. Sangat menghargai masa. Beliau minat dalam bercucuk tanam dan berkebun buah-buahan, iaitu sifat yang beliau warisi daripada ayahandanya. Minatnya itu juga kini tertumpah pada anak-anak muridnya di mana pelbagai jenis tanaman ditanam di pusat pengajian tersebut. Selain dapat memanfaatkan tanah-tanah yang ada, hasil tanaman ini juga dapat memberikan pendapatan sampingan apabila dijual. Antara tanaman yang ditanam seperti ubi kayu, pinang, pisang, nenas, kangkung, bayam, sawi, tebu dan bermacam-macam buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk pokok-pokok akar kayu untuk perubatan.
Seorang teman memberitahu al-Fagir, katanya Pak Teh seorang yang lurus dengan niatnya (hasratnya). Kalau beliau sudah berniat untuk ke kebunnya dan di dalam masa yang sama beliau di kunjungi tetamu, maka katanya, Pak Teh akan ke kebunnya sebentar bagi menunaikan apa yang telah beliau niatkan.
Dari segi ‘amalannya, al-Fagir tidak tahu decara pasti tariqat apa yang diamalkan oleh beliau, kerana ada yang berkata Syathariyyah, ada yang kata Samaniyyah. Wallahu a’lam. Namun menurut secara perkiraan al-Fagir, beliau mungkin mengamalkan thariqah Samaniyyah yang diperturunkan melalui guru beliau, Tuan Guru Haji Mat Saman Kati, kerana beliau juga merupakan Penaung Jemaah Thariqat Samaniyyah.
Hasil dari perkahwinannya dengan Mak Teh (nama tubuh, Halimatssa’adiah binti Haji Jusoh), beliau di anugerahkan 10 orang anak, iaitu 7 putera dan 3 puteri.
Meninggal dunia: Sekitar jam 1.00 pagi, hari Khamis , 21 Syawwal 1431H bersamaan 30 September 2010, sekitar jam 1.00 pagi, beliau telah kembali kerahmatuLlah. Ribuan yang hadir untuk menziarahi jenazah beliau. Sholat jenazah pertama diadakan di pondok beliau. Kemudian jenazah dibawa ke Masjid dan disholatkan sekali lagi dengan diimamkan oleh Tuan Guru Haji Salleh Sik. Hampir 5,000 orang yang hadir. MasyaAllah.
قدمات قوم وماماتت مكارهم * ومات قوم وهم في الناس أحياء
فالجاهلون مواتي قبل موتهم * والعالمون وإن ماتوا فأحياء
Telah mati satu kaum namun tidak mati kemuliaan mereka
Dan telah mati satu kaum, namun mereka hidup diantara manusia
Orang-orang yang jahil, mereka adalah mayat sebelum kematian mereka
Sedangkan para ulama, walaupun telah mati namun mereka tetap hidup (di hati manusia)
Orang ramai membanjiri Pondok Pak Teh untuk menziarahi jenazah beliau |
Jenazah Pak Teh di bawa masuk ke dalam masjid untuk disholatkan |
Orang ramai penuh sesak di dalam masjid untuk mensholatkan jenazah Pak Teh |
Sholat jenazah ke atas Tuan Guru Pak Teh yang diimamkan oleh Tuan Guru Haji Salleh, Sik |
Amanat Pak Teh 2 hari sebelum kewafatannya: Menurut akhi Helmi, Pondok Sik di blog beliau: “Tuan Guru Haji Salleh semasa menziarahi jenazah Pak Teh pagi tadi, ada seorang murid yang rapat dengan Pak Teh memberitahu Tuan Guru Haji Salleh tentang pesanan Pak Teh dalam kuliah 2 hari lepas. Pak Teh berpesan pada murid beliau: “Sekarang kita (pelajar agama) kena pakai (ikut) fatwa yang dihukum Tok Guru Haji Salleh Sik”. Pak Teh berkata seperti itu kerana sudah tiada ahli yang tahqiq (mantap) dalam menguasai ibarat kitab seperti ulama silam. Di sebelah utara semenanjung tokoh ulama yang tahqiq, sangat-sangat kurang dan boleh dikatakan sudah tiada. Oleh kerana itu beliau meminta Tuan Guru Haji Salleh memimpin solat jenazah Pak Teh tadi. Tuan Guru Haji Salleh menceritakan pengalaman beliau dengan Pak Teh. Kata Tuan Guru Haji Salleh: “Pak Teh masa hidup kalau jumpa (bertemu ) aku,dia kira (Pak Teh suka) peluk aku ja la dia.”
Pengiktirafan oleh pemerintah: Pak Teh, Tuan Guru Haji ‘Abdul Lathif bin Haji ‘Abdul Rahman telah dianugerahkan kurniaan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) pada 19 April 2004 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, sempena menyambut ulangtahun hari keputeraan ke bawah duli Sultan Perak ke 76. Penganugerahan ini adalah merupakan pengiktirafan keatas jasa-jasa beliau di dalam memartabatkan agama Islam di negeri Perak.
Demikianlah serba ringkas biografi Pak Teh. Seorang demi seorang ulama kita berpergian, sampai pada akhirnya tidak ada lagi yang dapat mengantikan mereka. Kemarin kita mendapat khabar pemergian Pak Teh, besok entah siapa pula ulama yang akan mengikuti pemergian mereka. Hilangnya mereka susah untuk mendapat pengganti. Kita mampu mengeluarkan beribu-ribu sarjana, kita mampu mengeluarkan beratus-ratus pemikir Islam, tapi apakah kita mampu mengeluarkan ulama-ulama yang alim dan rabbani? Maka akhirnya nanti tinggallah orang-orang bodoh yang mengaku ulama, berpakaian seperti ulama, bergaya persis ulama, tetapi tidak memiliki ilmu dan akhlak seperti seorang ulama, lalu mereka akan menjawab segala pertanyaan masyarakat awam yang haus dengan ilmu pengetahuan, sehingga mereka sesat lagi menyesatkan, benar sekali sabda Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sepertimana yang diriwayatkan oleh Sayyiduna Abdullah bin ‘Amr bin Ash رضي الله عنهما: Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) hamba-hambaNya. Tetapi Allah Ta’ala menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama sehingga apabila tidak tertinggal satu orang alimpun, manusia akan menjadikan pemimpin-pemimpin dari orang-orang yang bodoh, maka tatkala mereka ditanya (tentang masalah agama), lalu mereka akan berfatwa tanpa ilmu, akhirnya mereka sesat dan menyesatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidhi dan Ibn Majah)
Tidakkah pemergian mereka ini musibah bagi kita dan umat Islam seluruhnya? Iya, musibah besar! Di dalam sebuah hadits yang di riwayatkan oleh Abu Daud, at-Tirmidhi, Ibn Majah dan al-Baihaqi daripada Abu Darda رضي الله عنه katanya: Aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda (maksudnya): Sesiapa yang pergi di pagi hari kerana inginkan ilmu dan untuk mempelajarinya semata-mata kerana Allah Ta’ala, nescaya Allah Ta’ala akan membukakan baginya satu pintu menuju syurgaNya, para malaikat membentangkan sayapnya untuknya dan demikian juga ikan-ikan dilaut. Kelebihan orang yang alim itu ke atas orang yang abid apalah seumpama kelebihan bulan purnama ke atas sekecil-kecil bintang dilangit. Para ulama itu adalah pewaris Nabi. Sesungguhnya Nabi tidak mewariskan wang dinar dan tidak juga wang dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil ilmu maka dia telah mengambil habuannya yang amat bernilai. Oleh itu matinya seorang yang alim adalah satu musibah yang sukar digantikan dan satu kepincangan yang susah ditutupi. Ini adalah umpama bintang yang hilang sirna (diantara bintang-bintang). Sesungguhnya matinya satu qabilah adalah lebih ringan musibahnya berbanding matinya seorang yang alim.
Kata Sayyiduna ‘Umar رضي الله عنه: Kematian 1000 abid (ahli ‘ibadah - yang jahil -) yang bangun di malam hari dan berpuasa di siang hati, lebih ringan daripada kematian seorang ulama yang memahami hal-hal yang dihalalkan dan yang diharamkan oleh Allah.
Akhirkata, marilah kita sama-sama menghadiahkan bacaan surah al-Faatihah dan surah Yaasin kepada Tuan Guru Haji ‘Abdul Lathif bin Haji ‘Abdul Rahman serta mendoakan beliau. Al-Faatihah .....
اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه وأكرم نُزُله . ووسع مُدخلهُ . واغسله بالماء والثلج والبرد ، ونقه من الخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس ، وأبدله داراً خيراً من داره ، وأهلاً خيراً من أهله وزوجاً خيراً من زوجه وأدخله الجنة وأعذه من عذاب القبر ومن عذاب النار
Semoga patah tumbuh hilang berganti …. Biarpun yang tumbuh atau yang ganti itu tidak sehebat yang telah pergi ………
Al-Fagir memohon ampun maaf andaikata ada kesalahan atau kesilapan fakta. Semoga para pengunjung sudi untuk membetulkannya.
Sekian dari,
Al-Fagir Abu Zahrah al-Qadahi
Taman Seri Gombak
Dhuha, 25 Syawwal 1431/4 Oktober 2010Pak Teh sholat jenazah di kubur Ustaz Bukhari Harun - 10 Ramadhan. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan