Selasa, 23 September 2014

Diari Encikgu #48

Faizal berjalan perlahan-lahan menuju ke gerai kuih di simpang tiga jalan besar kampung. Dia berhenti di depan tupperware-tupperware putih yang berisi pelbagai kuih. Kemudian dia ambil pengepit besi dan mengepit tiga kuih yang sejenis dan masuk ke dalam plastik merah. Tangan kirinya seluk poket seluar yang lusuh.

Dalam genggamannya ada seringgit warna biru yang komot dan diserahkan kepada makcik bertudung kuning. Makcik tu senyum, tapi tidak berbalas. Faizal berlalu pergi.

Kali ni dia berjalan jauh daripada rumahnya ke gerai kuih tadi. Matahari baru nak muncul di angkasa dengan cahayanya yang suam-suam. Orang kata cahaya matahari pagi ada vitamin yang baik untuk kulit.

Dia berhenti dan masuk ke dalam kawasan berpagar. Dia seperti mencari sesuatu. Matanya meliar.

Faizal duduk di atas kerusi batu petak di situ.

"Nina, abah bawa kuih untuk Nina ni. Nina suka karipap kan? Makanlah, abah beli dua untuk Nina"

Faizal mengusap batu nisan warna kelabu sambil mengunyah karipap di dalam mulutnya.




"Begitulah ceritanya, bininya lari lepas lahirkan anaknya. Anaknya mati lepas demam panas ketika dia kerja part time dekat port klang" cerita Cikgu Dani panjang pada aku lepas meja makan kami dilepasi Faizal.

Aku sruppp sikit nescafe panas dan ucapkan rasa syukur.

Tiada ulasan: