Isnin, 27 Oktober 2014

Diari Encikgu #50

Norman pandang aku dengan muka yang kerek. Muka dia masam tanpa ada satu lirikan senyuman yang dihadiahkan kepada aku. Aku balas dengan muka yang masam. Tangan aku sibuk memutar-mutar pen biru bola mata yang tinggal setengah dakwatnya.

"Kenapa kamu pecahkan cermin bilik air tadi?" aku tanya garang tapi level kanak-kanak bukan seperti gangster di lorong-lorong gelap.

Norman masih membisu. Dia tenung kasutnya.

"Ayah baru kamu dengan ayah lama kamu mana lagi best?" aku cuba tukar topik. Bina jambatan baru dalam komunikasi. Aku tahu dia punyai ayah tiri, ayah kandungnya lari gi Kuala Sepetang.

Norman angkat muka.

"Ayah baru" jawabnya padat.

"Kenapa?" aku tanya sambil catit sesuatu dalam borang penilaian kaunseling.

"Ayah baru saya bagi saya isap rokok" jawabnya senafas.

Aku terkejut. Mata aku membulat. Di depan aku budak darjah dua sudah mula hisap rokok dan mendapat izin dan 'restu' seorang bapa.

Aku tick pada satu ruangan kotak borang kaunseling yang tertulis PERLUKAN PERHATIAN.

Loceng berbunyi dan Norman tahu sesinya sudah tamat. Dia senyum sinis.

Tiada ulasan: